fb fb fb fb fb

Jangan taksub sistem ranking antarabangsa - Mohamed Khaled

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 19 November- Setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini digesa agar tidak taksub kepada sistem ranking antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tidak akan ada perkongsian kepakaran antara IPT jika masing-masing mahu mengejar ranking terbaik.

Beliau berkata, sudah banyak kenyataan dan penulisan mengenai sistem tersebut dan badan antarabangsa juga melahirkan kebimbangan agar tidak menerima sistem ranking bulat-bulat.

"Penarafan kedudukan IPT tidak boleh mengujur secara umum semua universiti kerana setiap institusi diwujudkan untuk tujuan dan matlamat yang berbeza.

"Ukuran yang digunakan lebih sesuai untuk negara maju, namun ada yang tidak sesuai untuk kebanyakan negara lain," katanya kepada pemberita pada sidang media Sambutan Ulang Tahun ke-40 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan bantuan atau pengecualian yuran pengajian kepada pelajar warga Palestin yang menuntut di universiti awam dan swasta di negara ini.

Katanya, bagi pelajar warga Palestin yang menuntut di universiti awam, pengecualian yuran, tidak mempunyai masalah, namun bagi universiti swasta, pihaknya masih lagi berunding.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM