KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih di media sosial berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Datuk Fahmi berkata, siasatan sedang dijalankan dan semua pihak diminta menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Saya ambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Kedua-duanya telah memberi peringatan kerana banyak sebaran yang kita tidak boleh sahkan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kandungan yang tersebar melalui media sosial semakin sukar disahkan kesahihannya, terutama dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Apa-apa maklumat yang kita terima melalui media sosial kadangkala tidak dapat disahkan, sama ada ia tulen atau sebaliknya, termasuk kemungkinan ia dihasilkan oleh teknologi AI.
Jadi, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Datuk Fahmi meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama rapat dengan AGC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan berjalan tanpa gangguan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pentarama Homecoming sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Sekolah Kebangsaan Bangsar, di sini.
Sementara itu, MCMC menerusi kenyataan menegaskan, penyebaran berita palsu merupakan kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.
Sebelum ini media melaporkan, Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar terbabit dibawa ke hospital selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.
Siasatan kes tersebut kini sedang dilengkapkan oleh PDRM selepas dipulangkan semula oleh AGC pada Selasa.