LANGKAWI, 23 Oktober- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyeru warga maya supaya berhati-hati dalam menyebarkan berita tidak benar.
Beliau merujuk kepada penyebaran berita tidak sahih berkaitan banjir di Langkawi.
Menurut beliau, sektor pelancongan di daerah tersebut sedikit terjejas ekoran penyebaran berita palsu ini.
"Penyebaran maklumat yang tidak benar menjejaskan sektor pelancongan di Langkawi yang membabitkan pembatalan penerbangan dan sebagainya. Banyak tempat-tempat menarik yang kering (tidak banjir), maka pelancong boleh terus berkunjung ke Langkawi," kata Sanusi kepada media RTM selepas membuat lawatan ke PPS Dewan Syifa, Padang Matsirat, di sini.
Pada 16 Oktober, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa mukim di daerah tersebut terjejas.
Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Atas, Kampung Limbung Putra, Kampung Buluh Penyumpit, Kampung Bukit Kemboja dan Kampung Bohor Masjid.
(Foto Fail)