KUALA LUMPUR, 24 Mei- Nilai pasaran industri kredit komuniti dijangka terus meningkat dari tahun ke tahun.
Ia sekali gus mendorong rantaian ekonomi terutamanya masyarakat dan mikro.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata nilai pasaran industri berkenaan dianggarkan mencecah RM24.8 bilion pada tahun lepas.
Jumlah itu merangkumi nilai pinjaman Pemberi Pinjam Wang (PPW) dan pajak gadai melibatkan Pemegang Pajak Gadai (PPG).
"Untuk makluman, terdapat dua segmen utama peminjam yang dapatkan perkhidmatan pinjaman dengan pemberi pinjaman wang iaitu peminjam individu dan tidak lupa juga peminjam korporat.
"Dari tahun 2021 hingga tahun lepas, untuk makluman 62 peratus daripada keseluruhan nilai pasaran yang dikeluarkan oleh pemberi pinjaman wang adalah kepada peminjam korporat dan baki 38 peratus sahaja adalah kepada peminjam individu.
"Ini adalah bercanggah dengan persepsi umum seolah-olah dulu pemberi pinjaman wang semua daripada mikro..tapi sebenarnya, majoriti 'nearly' 2/3 meminjam adalah daripada peminjam syarikat ataupun korporat," kata Kor Ming dalam sidang media Majlis Prapelancaran Anugerah Kredit Madani 2024 di sini.
Sehingga April tahun ini, terdapat 4,416 pemegang lesen PPW meliputi 3,306 di semenanjung di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala baki 1,110 di Sabah, Sarawak dan Labuan dikawal selia pihak berkuasa pelesenan di negeri masing-masing.
Sementara itu, Majlis Anugerah Kredit Madani 2024 yang dianjurkan KPKT buat julung kalinya akan diadakan pada 15 November nanti.
Penyertaan bagi anugerah yang diadakan secara dwitahunan itu telah dibuka bermula pada 17 Mei lalu sehingga 9 Ogos ini.
Kor Ming berkata majlis anugerah berkenaan turut melibatkan kerjasama daripada rakan strategik dengan pihak Persatuan PPW, Persatuan PPG dan pemain industri.
"Ia bertujuan memberikan satu bentuk pengiktirafan kepada syarikat pemegang lesen PPW dan juga PPG atas inisiatif, usaha pihak pemain industri dalam memastikan kepatuhan terhadap akta dan peraturan, 'complaince to the law'," kata Kor Ming.
Penerima anugerah yang layak akan diberikan penghargaan dan ganjaran dalam bentuk hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000 (tertakluk pada kategori), sijil penghargaan dan trofi.
Selain itu, terdapat sebanyak tujuh anugerah kecemerlangan, masing-masing dalam kategori PPW dan PPG.
Dalam sidang media sama, Kor Ming menasihatkan orang ramai untuk memilih syarikat pemberi wang berlesen dan mengelak daripada meminjam daripada along.
"Saya dengan perasaan rendah diri memohon rakyat Malaysia sekiranya memerlukan pinjaman kita ada saluran-saluran yang sah ataupun halal.
"Jangan pinjam daripada along kerana ia adalah aktiviti haram dan tidak tertakluk kepada mana-mana undang.
"Dan peminjam tidak ada hak mereka, tidak terlindung di bawah mana-mana akta.
"Manakala sebaliknya, siapa-siapa yang pinjam daripada PPW, pemberi pinjaman wang atapun pajak gadai di bawah kementerian ini, hak mereka dijamin oleh akta peminjam wang dan juga akta pajak gadai," kata Kor Ming.
Katanya, pemberi peminjam wang yang berlesen tertakluk kepada pematuhan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 bagi memastikan ketelusan transaksi.