KUALA LUMPUR, 27 Februari – Kerajaan komited membantu maahad tahfiz tidak berdaftar dengan membabitkan mereka dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan inisiatif itu bukan bertujuan mengambil alih institusi tahfiz, sebaliknya memberikan nilai tambah kepada pelajar melalui kemahiran tambahan.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata usaha tersebut seiring dengan langkah memasukkan elemen TVET dalam sistem pendidikan maahad tahfiz berdaftar di seluruh negara.
“Terdapat 1,199 institusi tahfiz berdaftar ketika ini, manakala lebih 2,500 lagi tidak berdaftar. Jangan pinggirkan pelajar tahfiz dari maahad tidak berdaftar. Mereka juga anak muda yang berpotensi dan perlu digilap sebagai tenaga kerja mahir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penyelaras TVET Peringkat Parlimen di ibu negara.