fb fb fb fb fb

Jambatan Bintangor dibuka, laluan terhad sementara waktu

Pembinaan Jambatan Sungai Bintangor sepanjang 57 meter yang menelan kos RM50 juta, mengambil masa lebih lima tahun untuk disiapkan

KUCHING, 14 Februari- Jambatan unik Sungai Bintangor, Satok akhirnya dibuka kepada umum mulai hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata jambatan yang mencapai 80 peratus siap itu bagaimanapun dibuka pada waktu terhad.

Jelasnya, ia bagi memastikan kelancaran baki 20 peratus lagi proses menyiapkan jambatan berkenaan.

"Laluan satu lorong akan dibuka pada pukul 4.30 petang hingga pukul 10 malam sahaja," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan jambatan terbabit selamat digunakan.

Keputusan itu diambil selepas mengambil kira saranan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, DOSH.

"DOSH ada datang dan memberi kelulusan untuk jambatan ini digunakan," katanya lagi.

Bercakap kepada media selepas praperasmian jambatan itu petang tadi katanya lagi, jambatan itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2025.

Pembinaan jambatan sepanjang 57 meter yang menelan kos RM50 juta itu mengambil masa lebih lima tahun untuk disiapkan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE