
PONTIAN, 13 Januari -Masalah jambatan uzur dan sempit di Sungai Pontian Kechil bakal berakhir apabila jambatan baharu bernilai RM23.1 juta dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.
- Jambatan baharu Sungai Pontian Kechil bernilai RM23.1 juta dijangka siap hujung bulan ini.
- Struktur baru sepanjang 75 meter dan lebar 27.3 meter menggantikan jambatan lama.
- Direka dengan empat lorong dua hala, menggantikan jambatan lama yang hanya dua lorong.
- Projek capai 94 peratus siap dan mampu menampung beban kenderaan berat untuk keselamatan serta kelancaran trafik.
Pembinaan jambatan itu bermula pada Januari 2023, melibatkan struktur baharu sepanjang 75 meter dengan lebar 27.3 meter.
Ia turut dilengkapi empat lorong dua hala, menggantikan jambatan lama yang hanya mempunyai dua lorong.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kemajuan projek mencapai 94 peratus, setakat bulan lalu.
“Jambatan baharu itu direka untuk menampung beban kenderaan berat dengan lebih stabil, sekali gus meningkatkan kelancaran aliran trafik dan keselamatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, jambatan sedia ada dikenal pasti berdepan masalah struktur uzur, laluan sempit serta had beban yang tidak lagi sesuai dengan kepadatan trafik semasa.