fb fb fb fb fb

Jalan TAR masih menjadi lokasi tumpuan pembeli, peniaga

Pembeli membeli persiapan sempena Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 6 April- Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) masih menjadi tumpuan warga kota untuk membeli barangan keperluan menjelang Aidilfitri pada saat-saat akhir.

Namun masih ada yang selesa untuk membuat pembelian secara atas talian. Bagi yang memilih membeli secara fizikal, ia disifatkan lebih memberikan kepuasan kepada pembeli.

Ia disebabkan setiap barangan yang ingin dibeli boleh dilihat dan dipilih mengikut cita rasa sendiri. Bagi Mohd Azwan Haris, dia berpendapat barangan yang dijual di Jalan TAR di ibu negara masih berpatutan.

"Hari ini saya datang ke jalan TAR untuk berbelanja sempena Hari Raya Aidilfitri. Harga masih berpatutan, kain juga berkualiti dan cantik.

"Saya lebih suka tengok secara fizikal. Untuk pembelian secara atas talian saya risau ianya tidak seperti apa yang saya fikirkan. Jadi saya tidak mahu ambil risiko," katanya.

Sementara itu Hazniza Mohd Yusof yang ditemui RTM berkata, harga yang ditawarkan masih berpatutan dan dia masih boleh membeli kelengkapan untuk keluarganya.

"Pembelian secara atas talian macam tak puas hati. Risau saiz tak sesuai, nanti kena jahit semula. Jadi hari ini saya datang tengok sendiri barangan secara fizikal," katanya.

Manakala peniaga Maizatul Hazanah Maus berpendapat, tidak semua barangan sesuai dibeli secara dalam talian.

"Saya menjual kek, jadi agak sukar untuk menjualnya secara atas talian. Kita risau akan ada kerosakan terhadap kek yang dijual. Ramai pelanggan kami dari Singapura dan Sarawak.

"Jadi kami tidak mahu kerisauan. Jadi kami memilih untuk menjual di sini. Orang pun jadikan lokasi ini sebagai tumpuan ketika ingin membeli barangan Aidilfitri," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI