KUALA LUMPUR, 7 Mei- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Jalan Sultan Ismail akan ditutup sementara sehingga lewat tengah malam ini.
Ia bagi melakukan pembersihan berikutan kejadian pokok tumbang petang tadi.
"Buat masa ini kita telah menutup jalan berkenaan dan akan arahkan kenderaan masuk ke laluan lain supaya dapat mengelakkan kesesakan. Proses pembersihan ini dijangkakan selesai malam ini.
"Kalau kita tengok perjalanan operasi monorel dari Medan Tunku ke KL Sentral juga dihentikan sementara. Kerosakan di sana juga masih belum dapat dipastikan lagi," katanya kepada pemberita di sini.
Pada masa sama pihaknya akan melihat semula garis panduan pemeliharaan dan pemuliharaan pokok-pokok di sekitar ibu negara bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Setakat ini pemeriksaan dan pemantauan telah dilakukan pihak Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak dua tahun sekali.
Namun kejadian pokok tumbang petang tadi dikenal pasti sudah berusia lebih 50 tahun.
"Kalau kita lihat pokok ini nampak gayanya berusia melebihi 50 tahun. Seperti yang kita sedia maklum pokok ini atas pemantauan oleh pihak swasta.
"Kita juga melihat ada keperluan untuk kita melihat garis panduan kepada pemeliharaan pokok di sekitar Kuala Lumpur ini," katanya.
DBKL juga akan membuat pemantauan bagi mengesan bilangan pokok tua di ibu negara bagi memastikan ia tidak akan menjejaskan orang awam.
Selain itu, berkenaan pemberian pampasan kepada mangsa-mangsa terlibat, perbincangan masih dilakukan dan perkara itu akan diuruskan DBKL.