KOTA BHARU, 28 Ogos -Laluan FT185 Seksyen 78.600 LHS Jalan Lojing-Gua Musang ditutup selorong susulan insiden lubang benam berhampiran Kampung Jekjok, di sini 7 Ogos lepas.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kejadian pada 8.30 pagi itu menyebabkan mendapan berukuran 15 meter panjang, enam meter lebar dan berkedalaman 3.1 meter.
“Berikutan kejadian itu, laluan ke arah Gua Musang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan manakala hanya satu lorong masih dibuka untuk arah bertentangan.
“Lubang benam disyaki terbentuk kerana terdapat aliran air pada bahagian tepi pembetung dan keluasan mendapan didapati semakin membesar,” menurut hantaran itu hari ini.
JKR Gua Musang memaklumkan pelan pengurusan trafik telah dilakukan di lokasi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kerja-kerja pengawasan dan pemantauan sedang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Roadcare (M) Sdn Bhd, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang serta Majlis Daerah Gua Musang,” kata hantaran itu.