fb fb fb fb fb

Jalan ke Kapit terputus akibat tanah runtuh, lencongan sementara dibuka

FOTO JKR SARAWAK

KAPIT, 30 Januari- Jalan Song/Sipan-Temalat ditutup kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh yang memutuskan hubungan jalan raya dari Kanowit ke Song hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kapit, penutupan sementara dibuat bagi membolehkan pihak terbabit membuat lencongan untuk membuka laluan kepada kenderaan ringan.

“Kejadian berlaku berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam,” katanya.

Beliau berkata kenderaan berat tidak dibenarkan melalui jalan itu memandangkan keadaan struktur tanah yang tidak stabil dan tidak selamat di lokasi.

Sehubungan itu, menerusi hantaran terbaharunya di laman Facebook, satu lencongan sementara telah dibuka bagi melancarkan lalu lintas.

Laluan itu katanya sudah boleh dilalui oleh kenderaan kecil.

Residen Bahagian Kapit Elvis Didit bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Katibas Lidam Asan dan Pegawai Daerah Song Harry Bruce, katanya telah turun padang bagi memeriksa bahagian jalan yang runtuh.

Selain itu, Nanta memaklumkan terdapat beberapa lagi kejadian tanah runtuh di daerah Kapit dan Belaga.

Kawasan terjejas antaranya simpang masuk ke Menara Pemancar TV & Radio dan Lorong 1, Taman Bian Hua, Daerah Kapit; Kilometer 34, Jalan Menjawah – Belaga; dan Jalan Bakun - Belaga iaitu antara Uma Badeng Dangan/Bakun, daerah Belaga.

Beliau berkata Elvis telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit untuk memantau secara dekat keadaan di seluruh daerah itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca buruk ketika ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belaga juga sudah mengambil tindakan dengan membersihkan laluan terjejas bagi membolehkan pengguna jalan raya melalui kawasan berkenaan.

“Pihak JKR turut memasang papan tanda yang bersesuaian di lokasi kejadian,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE