fb fb fb fb fb

JAKM Kedah catat rekod baharu jumlah pengunjung tertinggi

ALOR SETAR, 4 September- 115,510 orang mengunjungi Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, JAKM Peringkat Negeri Kedah yang diadakan selama tiga hari berakhir hari ini.

Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sepanjang penganjuran JAKM sebelum ini.

Hari pertama merekodkan kehadiran seramai 52,229 orang; hari kedua 31,998 orang dan hari ketiga, 31,283 orang.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Sekreteriat Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dalam kenyataan malam ini memaklumkan, sepanjang tempoh tiga hari penganjuran, Keluarga Malaysia mendapat perkhidmatan terus secara bersemuka dengan pelbagai program menarik dan bermanfaat yang telah disediakan kepada pengunjung.

Sebanyak 27 reruai (booth) kaunter perkhidmatan telah mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini yang melibatkan pelbagai Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, 12 kaunter perkhidmatan bergerak antaranya dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile) serta perkhidmatan kesihatan telah disediakan kepada Keluarga Malaysia yang hadir.

Penglibatan 80 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), 60 gerai jualan di bawah Pavilion Usahawan Desa KPLB@JAKM Kedah, 10 gerai Citarasa Keluarga Malaysia, 10 trak jualan makanan (food truck), enam (6) reruai (booth) Jualan Keluarga Malaysia serta lapan (8) syarikat di program Padanan Perniagaan (Business Matching) dalam siri jelajah ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan.

Sebanyak RM8.8 juta jualan berjaya direkodkan setakat hari kedua penganjuran.

JAKM melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia turut bekerjasama dengan 35 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 4,147 kekosongan jawatan.

Seramai 1,300 peserta telah dipanggil menghadiri temu duga dan 607 (46.7%) orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan.

YAB Perdana Menteri turut menghadiri Kenduri Rakyat atau ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia di Padang Terap bersama-sama 15,000 penduduk tempatan yang dilaksanakan secara bergotong-royong di bawah semangat Keluarga Malaysia.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat pameran dari JAKOA)

Program Fun Ride Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia turut diadakan yang disertai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali bersama-sama penjawat awam. Semasa program tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf di Masjid Aman, Alor Setar.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) merupakan kementerian peneraju bagi jelajah kali ini dan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah, manakala SEPADU, Jabatan Perdana Menteri adalah penganjur dan penyelaras utama program ini dengan berbaki empat (4) lagi lokasi Jelajah Negeri dan satu (1) penutup di Putrajaya.

JAKM yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021 lalu.

Siri jelajah ini akan diteruskan di seluruh negara dengan segmen perkhidmatan yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

JAKM merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung sekaligus memelihara kesejahteraan dan kepentingan Keluarga Malaysia.

Media Baharu