KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan World Quran Symposium 2025 pada 7 Ogos di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula pukul 8 pagi, bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran simposium tersebut bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap nilai-nilai Qurani serta menggalakkan umat Islam menjadikan ajaran al-Quran sebagai panduan hidup.
Langkah itu, jelasnya, penting ke arah pembinaan jati diri unggul dan kemuliaan insan.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Antara pengisian utama ialah ucaptama oleh Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Salah Al-Budair, sesi eksekutif bersama tokoh dari India, serta forum ilmiah yang menampilkan ahli akademik tempatan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Seramai 1,500 peserta dari pelbagai latar belakang dijangka menghadiri simposium ini, termasuk mufti, ahli akademik, pakar syariah, dan masyarakat awam.
Penganjuran ini mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tadbir urus Islam serta membudayakan nilai-nilai Qurani sebagai asas pembinaan tamadun bangsa.