fb fb fb fb fb

JAIS pantau rapat aktiviti ahli GISBH

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad/Foto JAIS

SHAH ALAM, 12 September - Pemantauan berterusan akan dilaksana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebarang aktiviti membabitkan ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH).

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, aktiviti ahli terbabit dipantau rapat berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'. Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan yang melibatkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'.

Dalam menghadapi isu GISBH yang kini tular, JAIS telah memeriksa 19 video yang dimuat naik di media sosial oleh Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS). Penelitian ini bertujuan untuk mengukuhkan hasil siasatan yang sedia ada serta mendapatkan maklumat tambahan dari individu atau pihak lain untuk melengkapkan siasatan.

Pada 11 September 2024, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan serbuan ke atas 18 premis yang dikaitkan dengan GISBH.

"Dalam hal ini, JAIS telah berbincang dengan PDRM untuk menyerahkan barang-barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli GISBH kepada JAIS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7, 12, dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya.

Menurutnya, dua daripada premis diserbu adalah sekolah rendah Islam yang berdaftar dengan JAIS dengan salah satunya didaftarkan pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran, 31 Disember 2025.

"Sekolah berkenaan mempunyai 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS."

"Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah itu pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai lalu, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan. Sebuah lagi sekolah didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember tahun ini. Maahad ini mempunyai tiga kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri," katanya.

Menurutnya, sebanyak lapan sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan JAIS. dua daripadanya sudah menutup operasi secara sukarela manakala dua lagi tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran manakala baki masih beroperasi sehingga 2028.

JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah-sekolah yang terlibat berdasarkan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988, memandangkan penemuan PDRM menunjukkan ada sekolah yang berdaftar di bawah enakmen tersebut. Ini adalah langkah untuk memastikan pematuhan ajaran Islam yang sebenar terus terjaga.

Trainee