IPOH, 1 Februari – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan terhadap seorang khatib yang didakwa menukar teks Khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri dengan teks khutbah lain.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan tindakan tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan JAIPk bertanggungjawab menyediakan teks khutbah lebih awal berdasarkan peristiwa penting setiap bulan.
Menurut beliau, khutbah yang disediakan telah ditetapkan sebagai peringatan kepada jemaah, dan arahan berkaitan perkara itu telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
"Arahan daripada MAIPk jelas menyatakan bahawa semua masjid dan semua imam perlu membaca khutbah yang telah disediakan. Jika terdapat mana-mana masjid atau khatib yang membaca khutbah selain daripada yang ditetapkan MAIPk, ini mungkin satu isu yang perlu disiasat. Saya percaya JAIPk dan MAIPk akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat negeri Perak, di sini.
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa seorang khatib di Perak tidak membaca teks khutbah yang disediakan oleh JAIPk, sebaliknya menggunakan teks khutbah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).