fb fb fb fb fb

JAINJ pertingkat pemantauan ajaran sesat di Ulu Tiram

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid / Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan meningkatkan pemantauan berhubung dakwaan penyebaran ajaran sesat di Ulu Tiram, Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata langkah itu diambil bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara di negeri itu.
 
"Kita terima banyak laporan daripada orang ramai berkaitan ajaran sesat dan kita akan hantar wakil samada membuat semakan atau kita menyertai secara penyamaran dalam setiap aduan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri dalam mengekang ajaran sesat di Johor.
 
Tambah Mohd Fared, sehingga kini, Jawatankuasa Khas JAINJ dan Jabatan Mufti Negeri Johor sentiasa memantau laporan daripada mana-mana pihak mengenai ajaran sesat di negeri itu.

Setiap laporan yang diterima katanya akan disiasat dan disemak sebelum diputuskan sama ada ianya ajaran sesat atau sebaliknya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN