fb fb fb fb fb

Jaga adab, tatasusila sepanjang berkempen

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 30 Julai- Jentera parti politik yang akan berkempen pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) perlu menjaga adab dan tatasusila dengan tidak menimbulkan insiden sehingga boleh menjejaskan ketenteraman dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Pensyarah Kanan Fakuliti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Azman Ayob berkata dalam keghairahan berkempen, mereka perlu mengawal tingkah laku dan emosi serta tidak menyebarkan fitnah terhadap pihak lawan.

Beliau berkata adalah sebaiknya calon bertanding memberi fokus dalam menerangkan dasar parti, manifesto serta strategi untuk memajukan kehidupan rakyat sekiranya diberi mandat.

"Kita kena mempamerkan setidaknya kita sebagai penyokong ,pengundi atau pun kena tunjukkan kita ini masyarakat yang ada nilai, yang ada etika dan moral. Kita tidak boleh mempamerkan keghairahan kita dalam menyokong parti- parti politik ini dalam bentuk yang terlalu emosi," katanya.


(Pensyarah Kanan Fakuliti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr. Azman Ayob)

Dalam pada itu, Dr Azman turut menyatakan manifesto adalah satu janji yang wajib ditunaikan oleh calon-calon yang bertanding dan ia bukan janji kosong.

Pada saya manifesto adalah janji , janji mesti ditepati , tetapi kita manusia biasa, termasuk siapa yang membentuk kerajaan nanti ia juga manusia dan ada benda yang kita tidak nafikan bahawa dia tidak boleh buat ,boleh capai tetapi dia kena tunjukkan bahawa usaha untuk menunaikan janji itu. Nampakkan usaha itu dan bukan sahaja menampakkan usaha ke arah itu tetapi sudah tentunya nanti kena pastikan usaha itu mendatangkan hasil seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya," katanya.

Dr Azman berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU DUN ke-15 di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Media Baharu