KUALA LUMPUR, 8 November- Pengguna platform media sosial disaran menjaga kesihatan mental dan emosi ketika melayari berita serta gambar dari Gaza.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menasihatkan pengguna yang berasa terganggu dari segi mental dan emosi supaya mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar.
"Ia akan meninggalkan kesan, jadi peringatan kepada diri saya dan juga kepada semua pengguna media sosial, kita mesti utamakan kesihatan mental.
"Sekiranya apa yang kita rasai itu mengganggu emosi kita, dapatkan perkhidmatan kaunseling daripada pakar kaunseling, ini penting,"katanya.
Tambahnya, beliau sendiri turut terganggu terutama dalam minggu-minggu pertama serangan ke atas Gaza bulan lalu.
Gaza mula menjadi perhatian dunia termasuk rakyat Malaysia apabila mula diserang rejim Zionis Israel pada 7 Oktober lalu.