ISKANDAR PUTERI, 2 Mac- Peniaga bazar Ramadan di Johor diingatkan untuk menjaga kebersihan premis, bagi mengekang penularan wabak denggi.
Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata, sampah sarap perlu diuruskan dengan baik agar ia tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.
"Sebab nyamuk aedes ini dia tidak perlukan air yang banyak. Mungkin satu sudu air jernih pun mencukupi untuk ia membiak.
"Seminggu selepas itu sekiranya gagal dibersihkan kawasan ini dia boleh membiak dengan pantas dan hanya menunggu masa virus datang," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat Negeri Johor di di sini.
Bagaimanapun orang ramai juga diseru untuk mengambil langkah pencegahan, dengan membersihkan kediaman masing-masing secara kerap.
Perkara itu berikutan kes denggi di Johor, dijangka meningkat, berikutan pelbagai faktor penyumbang seperti cuaca yang tidak menentu sepanjang Januari dan Februari, selain pergerakan masyarakat yang meningkat pada musim perayaan.
Kumulatif kes denggi di Johor sepanjang awal tahun ini, turut merekodkan lonjakan lebih 100 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.