fb fb fb fb fb

Jemaah haji perlu patuh peraturan Arab Saudi - Mohd Na'im

Foto FB Tabung Haji

SEPANG, 9 Mei- Jemaah haji perlu menjaga imej negara dengan mematuhi setiap peraturan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata ia bagi mengelakkan mereka dikenakan denda dan ibadah haji dapat dilakukan dengan lancar.

"Tabung Haji (TH) sentiasa memberikan peringatan seperti saya sebutkan tadi, kita mahu memastikan jemaah haji kita menjaga imej negara.

"Bagaimana mereka boleh menjaga imej negara dengan mematuhi peraturan, sebab nak pergi haji ini nak beribadah.

"Jadi sebab itu melalui kursus yang diberikan, TH sentiasa menekankan tentang kepentingan jemaah haji untuk mematuhi setiap peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, seramai 284 orang kumpulan pertama bakal haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci tengah malam tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Bin Abdul Aziz, Madinah pada pukul 3.50 pagi waktu tempatan.

"Alhamdulillah bersyukur sangat-sangat pada Allah SWT sebagai dhuyufurrahman pada tahun ini kerana pada 2020 saya telah terpilih. Pada masa itu tertangguh kerana COVID-19, sekarang ini 2024 saya terpilih. Alhamdulilah, saya amat-amat bersyukur," kata jemaah haji, Ahmad Shahir Mohd Hassan.

"Saya pun dah boleh dikatakan bersedia daripada segi fizikal dan mental bagi menghadapi dan melakukan kerja-kerja haji," kata jemaah haji, Sarina Yusof.

"Bersyukur kerana Allah SWT pilih kita. Saya tidak dapat gambarkan rasa bersyukur itu," kata jemaah haji, Aiezah Musa.

"Bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat pergi (Mekah)," kata jemaah haji, Fatimah Musa.

Artikel Berkaitan:
Kumpulan pertama 284 jemaah haji berlepas ke tanah suci

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM