fb fb fb fb fb

Jabatan Perikanan pantau habitat ikan asing di Kedah

Sukri Deris menunjukkan ikan bandaraya, salah satu spesis ikan asing yang menjadi ancaman

ALOR SETAR, 22 Jun- Beberapa sungai di Kedah dikesan menjadi habitat ikan asing seperti ikan bandaraya, keli afrika dan ikan tilapia.

Antaranya Sungai Kedah di Anak Bukit; Sungai Muda di Daerah Kuala Muda/Yan; dan Sungai Kerian di Bandar Baharu; serta di beberapa tali air MADA.

Bagaimanapun keadaan masih terkawal dan jumlah populasi ikan asing tersebut masih rendah berbanding beberapa negeri lain.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris bagaimanapun berkata pihaknya mengambil langkah segera dengan melakukan kajian untuk menilai dan mengemaskini inventori ikan sungai khususnya di kawasan perairan Sungai Kedah.

Kajian tersebut amat penting bagi mengenal pasti status semasa spesies ikan tempatan, mengenal pasti kawasan pembiakan semula jadi, serta menilai tahap ancaman yang dihadapi terutama daripada spesies ikan asing.

Beliau berkata aktiviti memburu ikan asing turut dilakukan sebagai usaha pengawalan biologi secara langsung, selain memberi kesedaran kepada komuniti berkaitan impak ikan asing terhadap ekosistem sungai.

Katanya, ikan asing bukan sahaja mengganggu keseimbangan biodiversiti asli, malah mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan seperti jelawat, baung dan lain-lain.

“Kita mengharapkan supaya kerjasama daripada nelayan ataupun penduduk di sekitar sepanjang sungai kalau sekiranya dalam aktiviti penangkapan ikan tersebut mendapati adanya ikan-ikan asing ni supaya dapat dan lupuskan.

"Kalau sekiranya ada ikan asing tersebut yang boleh merosakkan ekosistem asli sungai kita lebih baik dilupuskan supaya ianya tidak tersebar (membiak) lagi,” Katanya kepada RTM selepas menghadiri Program Pemburuan Spesies Ikan Asing di Sungai Kedah di Anak Bukit, Alor Setar.

Sepanjang program tersebut, sebanyak 250 kilogram (kg) ikan pelbagai spesies berjaya didaratkan.

Daripada jumlah itu, 76 kg merupakan ikan asing seperti ikan bandaraya, ikan keli Afrika dan ikan tilapia.

Walaupun tangkapan ikan asing sedikit, namun kesan yang ditunjukkan oleh ikan asing terutama ikan bandaraya jelas kelihatan melalui lubang-lubang yang terdapat di tebing sungai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE