JOHOR BAHRU, 17 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa sedih dan kesal atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.
Anwar menjelaskan tindakan itu adalah kesepakatan antara Jemaah Menteri, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Perpaduan yang sanggup mengambil risiko bersama dalam melaksana tanggungjawab membantu mangsa perang.
Tambah Anwar, ia juga bagi memenuhi kehendak dan sokongan rakyat yang mahu mereka dibawa ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan sebaiknya.
"Semalam kita bawa dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bawa anak-anak (Palestin) yang cedera parah kerana kezaliman zionis Israel (yang) menembak, bom, hancurkan rumah, bunuh bayi (dan) wanita, malah baru-baru ini lelaki di penjara (Israel) diperkosa beberapa orang dengan zalim.
"Kemudian kita bawa balik (ke Malaysia)... itu pun dicerca (hingga) ada yang kata 'Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia... pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat'. Apa punya sikap manusia ini? Jenis apa ini? Orang mati terkorban, diseksa, duduknya jauh.
"(Sebelum ini) ada yang lain datang lagi ramai, Rohingya ratus ribu… banyak negara jiran datang minta pertolongan, dulu pelarian Aceh, ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan reda," kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai di sini hari ini.
Jelas beliau Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia yang berani bertindak sedemikian meskipun sedar akan risiko keselamatan yang perlu ditanggung.
Semalam, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira pukul 2.00 petang.
Kesemua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.
BERITA BERKAITAN