fb fb fb fb fb

Isu tertangguh antara Malaysia, Singapura perlu diselesaikan segera - Anwar

Foto Afiq Hambali/Pejabat Jabatan Perdana Menteri

SINGAPURA, 30 Oktober- Isu tertangguh seperti air antara Malaysia dan Singapura perlu diselesaikan demi rakyat di kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu itu memerlukan kerjasama dan komitmen kedua-dua pihak bagi memastikan kemaslahatan rakyat.

Beliau memaklumkan, isu terbabit turut dibincangkan menerusi pertemuannya bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mengambil kira hubungan akrab kedua-dua negara yang saling bergantung antara satu sama lain.

"Saya berpendapat rakyat akan mendapat manfaat yang sangat tinggi sekiranya isu tertangguh itu selesai termasuk isu air.

"Isu air itu memerlukan kesediaan Johor untuk melebar, memperkuat dan memperbaiki keupayaan pengeluaran air yang akan memberi manfaat, pertamanya kepada rakyat Johor, memenuhi keperluan Johor dan yang kita memang terikat dengan perjanjian lama.

"Kesediaan Singapura untuk membantu penyelenggaraan ini bersama Johor itu kita alu-alukan.

"Kita bersetuju Singapura dan Johor menyegerakan kaji selidik untuk melihat keupayaan membesarkan sungai dan pengeluaran kapasiti air di Johor dan ini kita akan bincangkan bersama kerajaan Johor", kata Anwar kepada pemberita pada Sidang Media Bersama Perdana Menteri Malaysia-Singapura di sini.

Jelasnya, kedua-dua pihak kini bersetuju menyegerakan kaji selidik bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Singapura bersetuju bahawa isu berkenaan perlu diselesaikan.

Malah, kedua-pihak berhasrat menyelesaikan isu itu segera mungkin mengikut kemampuan kedua-dua negara.

"Anwar dan saya berhasrat menyelesaikan isu ini segera mungkin.

"Isu ini adalah perkara yang kita boleh jelaskan kepada rakyat.

"Ada sesetengah perkara tidaklah terlalu konvensional sepertimana yang kita fikirkan sebelum ini, ia adalah perkara yang memerlukan pandangan secara menyeluruh.

"Dan ia akan menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat untuk kedua-dua negara," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM