
LENGGENG, 7 Februari– Pengurusan isu berkaitan tadbir urus rumah ibadat di negara ini perlu dilaksanakan secara bil-hikmah wa bil-hasanah, selaras prinsip kebijaksanaan dan keharmonian masyarakat majmuk.
- Isu tadbir urus rumah ibadat mesti ditangani secara berhemah, mengutamakan kebijaksanaan dan keharmonian masyarakat majmuk.
- Langkah perundangan sedia ada boleh digunakan tanpa menjejaskan hubungan antara kaum dan agama.
- Kerajaan dan pihak berkuasa bekerjasama melalui garis panduan bersama bagi memastikan pelaksanaan melibatkan semua pihak berkepentingan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun terdapat pembinaan struktur rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan, perkara tersebut wajar ditangani melalui pendekatan berhemah serta berlandaskan tatasusila.
Beliau menegaskan, terdapat kaedah perundangan yang boleh diguna pakai dalam menangani isu berkenaan tanpa menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
Pada masa sama, kerajaan sentiasa prihatin terhadap perkara itu dan berharap tiada sebarang tindakan agresif diambil sehingga boleh mencetuskan masalah lain yang lebih besar.
“Terdapat kaedah yang telah diputuskan oleh Kabinet, antaranya menetapkan bahawa sekiranya tanah berkenaan merupakan milik syarikat, individu atau kerajaan negeri, maka sebarang kebenaran perlu dipatuhi sepenuhnya.”
“Dalam hal tersebut, beberapa garis panduan turut diselaraskan bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri bagi memastikan pelaksanaannya melibatkan semua pihak berkepentingan,” kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, hari ini.
Beliau ditemui pemberita pada program ‘Road to Ramadan’ Negeri Sembilan 2026 di Masjid Kariah Pantai, di sini.
Beliau mengulas lanjut mengenai penganjuran Himpunan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung di ibu kota, malam ini.