KULAI, 12 April- Kementerian Komunikasi memandang serius isu penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan bahan lucah palsu yang melibatkan suspek seorang pelajar baru-baru ini.
Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata pihaknya juga menyarankan semua sekolah termasuk sekolah swasta di seluruh negara merujuk kepada Garis Panduan Salah Laku Seksual yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani perkara itu.
Beliau menekankan langkah itu adalah penting untuk memastikan tindakan tegas dapat diambil serta memperlihatkan komitmen institusi pendidikan dalam menangani isu yang semakin membimbangkan.
"Saya tidak pasti sama ada sekolah swasta mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri atau tidak. Jika ada pun, mungkin SOP itu perlu diketatkan lagi. Aduan tidak boleh dipandang remeh dan mesti ada tindakan yang serius.
"Salah satu masalah utama yang kita perlu beri perhatian ialah sikap dan respon pihak sekolah terhadap isu-isu seperti ini," katanya.
Nie Ching berkata demikian pada sidang media khas berhubung kes penyebaran gambar lucah palsu yang disunting menggunakan teknologi AI di Pejabat Ahli Parlimen Kulai di sini hari ini. Sidang media itu turut dihadiri oleh enam mangsa terlibat.
Dalam kes tersebut, seramai 38 pelajar didakwa menjadi mangsa apabila gambar mereka disunting menjadi bahan lucah sebelum dijual menerusi media sosial.
Susulan laporan polis, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di Kulai pada 8 April lalu kerana dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
Kejadian itu terbongkar apabila seorang wanita berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 3 April lalu selepas mendapati gambar lucah yang disunting menggunakan wajahnya tular di media sosial.
Gambar yang disunting kemudian dijual kepada orang ramai dengan harga murah iaitu RM2.