fb fb fb fb fb

Isu stoking kalimah Allah: Biar polis buat siasatan kata Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika ditemui media di Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 19 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata setakat ini beberapa laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak berhubung perkara itu.

"Sudah ada sejumlah laporan polis, biar hal itu diuruskan oleh polis," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini hari ini.

Minggu lalu video dan tangkap layar gambar sarung kaki yang tertera kalimah Allah tular di media sosial.

Stoking itu didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Petaling Jaya, Selangor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Bagaimanapun, syarikat tersebut dilaporkan telah memohon maaf berhubung penjualan stoking dan menyatakan jualan stoking itu telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Sementara itu, berhubung kes seorang pembaca berita dan pengacara yang menyifatkan tindakan polis sebagai kasar dan tidak beretika ketika menjalankan tugas, kes terbabit akan ditangani dengan adil.

“Saya punya prinsip mudah iaitu dengar kedua-dua versi supaya kita berlaku adil dan kita dapat dari dua dua versi, ia termasuk versi pengadu dan versi anggota polis yang bertugas barulah kita boleh tahu kedudukan sebenar.

“Oleh kerana hal ini sekarang sedang diuruskan, kita tunggu keputusan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN