PUTRAJAYA, 18 Mac - Rakyat diminta bertenang dan beri ruang serta kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihak polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca, pihak yang bertanggungjawab selain niat di sebalik perbuatan itu.
" Saya memohon kepada umat Islam khususnya beragama Islam untuk tenang dan berikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan.
"Saya harap pihak Polis, pihak JAKIM, pihak KPDNHEP untuk jalankan siasatan yang rapi kenal pasti siapa yang buat benda ini dan apa niat sebenarnya dia lakukan perbuatan ini.
"Jadi kita tidak mahu perbuatan khianat ini yang melibatkan kesucian dan satu perkara yang sangat sensitif dalam bulan Ramadan ini di kalangan orang Islam ini tidak berulang pada masa akan datang", kata Na'im kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdulaziz Al-Saud di sini pada Ahad.
Na'im turut menegaskan meskipun surat permohonan maaf daripada syarikat tersebut telah diterima, namun JAKIM diarah memanggil wakil pengurusan syarikat itu untuk siasatan lanjut.