fb fb fb fb fb

Isu sewa bulan tapak gerai baharu terlalu tinggi akan dikaji

  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Datuk Mohd Salleh turun padang bertemu dan berbincang bersama para peniaga terlibat di Medan Selera Pasar Besar, di sini, petang semalam.

ALOR SETAR, 24 Januari- Isu kadar sewa bulanan di Medan Selera Pasar Besar Alor Setar, di sini yang dikatakan terlalu mahal akan dikaji semula.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata ia susulan keluhan para peniaga yang kecewa apabila bakal dikenakan bayaran sewa bulanan antara RM550 hingga RM700 berbanding RM90 sebulan sebelum ini.
 
"Akan ada perbincangan bersama pihak terlibat agar kadar sewaan dapat dikaji semula. Kita melihat keadaan ekonomi serta beberapa faktor yang menjadi pertimbangan agar hak rakyat atau peniaga terbela,"katanya.
 
Pada masa sama, beliau berkata penambahbaikan infra yang telah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dilihat secara rasional.
 
Terdahulu, Mohd Salleh turun padang bertemu dan berbincang bersama para peniaga terlibat di Medan Selera Pasar Besar, di sini.
 
Semalam, RTM menyiarkan keluhan kira-kira 30 peniaga Medan Selera Pasar Besar memohon kadar sewa bulanan baharu yang didakwa bakal dikenakan terhadap mereka dikaji semula.
 
Wakil peniaga, Mohd Firdaus Shahi Zabiat, berkata, kenaikan kadar sewa itu didakwa akibat medan selera terbabit dinaik taraf selain diuruskan oleh syarikat swasta.

Beliau berkata, kenaikan kadar sewa itu dipercayai disebabkan medan selera tersebut dinaik taraf dan telah diswastakan untuk diuruskan sebuah syarikat swasta.
 
Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema) Kedah, Baharudin Mohamed Ali berkata, pihaknya sudah menghantar surat berhubung perkara itu kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), hari ini.

"Saya berharap isu berkenaan mendapat perhatian pihak terbabit dan diselesaikan dengan segera," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI