KUALA LUMPUR, 31 Mac - Semua pihak diingatkan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengambil tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata Rukun Negara merupakan satu set prinsip asas yang harus dijadikan panduan untuk membina dan memelihara keharmonian di Malaysia.
"Cita-cita dan prinsip-prinsip tersebut perlu dihayati dan dipatuhi setiap lapisan masyarakat bagi mencapai kesejahteraan bersama dan membangunkan negara yang harmoni," katanya menerusi catatan di platform X pada Sabtu.
Aaron turut mengharapkan agar semua pihak dapat menyebar luas prinsip asas integrasi nasional iaitu memahami, menghormati, dan menerima yang merupakan prinsip asas dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia.