fb fb fb fb fb

Isu salah guna dadah di Kelantan masih catat jumlah statisik tertinggi

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah. - BERNAMA

TANAH MERAH, 11 Julai - Isu penyalahgunaan dadah di Kelantan masih membelenggu negeri itu apabila berterusan mencatatkan jumlah statistik tertinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu dadah tidak boleh dipikul oleh Kerajaan Persekutuan semata-mata sebaliknya memerlukan penglibatan aktif Kerajaan Negeri bersama semua pihak berkepentingan.

Kelantan terus mencatatkan jumlah tertinggi mengikut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Kastam.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Antidadah Kebangsaan berpendapat, tidak wajar mana-mana pihak melepaskan tanggungjawab dan menganggap ia hanya tugas pihak lain,” katanya.

Penyeludupan dadah sintetik kini turut berlaku melalui laluan laut dan udara menjadikan Malaysia sebagai negara transit.

"Walaupun Kelantan sering dikaitkan dengan pendidikan agama yang kuat melalui penubuhan sekolah tahfiz dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang turut menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan, realitinya statistik menunjukkan negeri itu masih menjadi juara penagihan dadah yang kini turut melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun," katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyeru ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa dan NGO untuk sama-sama memerangi dadah, menyifatkannya sebagai ‘musuh nombor satu negara’ yang kini menjadi ancaman utama.

Beliau menyatakan semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah. 

Hadir sama, Ketua UMNO Tanah Merah Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN