
PUTRAJAYA, 19 Februari — Semua kegiatan pembinaan rumah ibadat mesti mematuhi undang-undang dan peraturan bagi memastikan keharmonian serta ketenteraman awam terpelihara.
- Pembinaan rumah ibadat mesti mematuhi undang-undang dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.
- Semua rumah ibadat, tanpa mengira agama, tertakluk kepada peraturan yang sama.
- Isu rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah dan melalui perbincangan demi keamanan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun kebebasan beragama sentiasa dijamin, namun pembinaan rumah ibadat dan penempatan simbol keagamaan perlu mematuhi undang-undang serta mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Menurut beliau, rumah ibadat boleh dibina, tetapi mesti melalui saluran yang betul dan mengikut peraturan ditetapkan.
“Buatlah dakwah tiada sekatan sama sekali. Tetapi ikutlah peraturan. Itu sahaja yang kita minta. Macam sepertimana kuil-kuil Hindu, sembahyang sebanyak mana dia nak pun. Buat lah kuil manapun, tapi ikut peraturan.
“Tidak boleh bina kuil atau berhala di mana tempat saja.Tidak boleh. Sepertimana peraturan”, katanya demikian ketika berucap pada program Perdana Menteri Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di sini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa semua rumah ibadat, tanpa mengira agama, tertakluk kepada undang-undang yang sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar menangani isu berkaitan rumah ibadat secara berhemah dan melalui perbincangan yang baik demi menjaga keamanan negara.
Minggu lalu Perdana Menteri menegaskan semua pihak perlu menghormati peraturan serta mengendalikan sebarang isu sensitif dengan penuh adab tanpa menghina mana-mana agama atau kepercayaan.