ISKANDAR PUTERI, 12 Mei - Kementerian Pertahanan( MINDEF) masih menunggu keputusan mahkamah rayuan berhubung penyelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen sebelum 1 Januari 2013.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap keputusan itu nanti akan dapat diselesaikan secara saksama dan tidak merugikan golongan itu.
"Bila ianya melibatkan soal tindakan dan mewaklili kita di mahkamah dan sebagainya ianya akan dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara, bukan kementerian yang melakukan.
"Mahkamah telah putuskan iaitu pada tahun depan akan ada bicara rayuan terhadap tindakan rayuan yang dibuat oleh pihak kerajaan, MINDEF dan juga Jabatan Peguam Negara pada bulan januari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM), di sini.
Pada 17 November 2022, 50 pesara ATM berpangkat Mejar, Leftenan, Staf Sarjan dan Prebet menfailkan saman dengan menamakan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.
Menerusi saman itu, plantif memohon pengisytiharan bahawa defendan telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembahaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen Akta ATM 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.