KUALA LUMPUR, 30 Mac - Tiga anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terlibat dalam insiden pergelutan dengan seorang penjaja belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Jumaat lepas, direhatkan sementara daripada tugas.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, tindakan itu diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar ia dapat dijalankan secara bebas, telus, dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.
Katanya, keputusan itu juga turut dibincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Sebarang keputusan akan ditentukan setelah siasatan penuh selesai.
"DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku warga kerja, sekiranya dibuktikan bersalah, terutamanya yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.
"DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak," kata Dr Maimunah dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan juga telah mewakili DBKL menziarahi Muhamad Za'imuddin bin Azlan yang kini sedang menerima rawatan di hospital.
DBKL turut akan mempertimbangkan menanggung kos rawatan beliau sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.
Orang ramai diseru tidak membuat sebarang spekulasi, bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci berhubung kes tersebut.