fb fb fb fb fb

Isu pengiraan cukai jualan minyak sawit, KPK komited cari alternatif bersama Sarawak

Foto FB Menteri

SEBUYAU, 25 November- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedia membantu pekebun kecil sawit mencari penyelesaian berkaitan isu kaedah pengiraan cukai jualan minyak sawit di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Sarawak dalam mendapatkan kaedah bersesuaian untuk sektor komoditi berkenaan.

“Mereka merayu supaya dipertimbangkan cukai itu dikirakan sudahpun diproses dieksport dan dijual bukan buah biji buah tandan segar.

Selebihnya memerlukan perbincangan dengan kerajaan negeri sebab cukai jualan dikenakan oleh kerajaan negeri. Kita kena bincang apa kaedah terbaik berhubung cukai jualan itu," kata Fadillah kepada pemberita selepas Program Trek Komoditi Zon Sarawak 2023.

Isu tersebut merupakan antara keluhan para pekebun kecil sawit dalam sesi sembang bersama pekebun kecil sawit bersempena Program Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak di Kampung Seruyuk, melibatkan harga buah tandan segar dan minyak sawit.

Golongan itu juga membangkitkan cadangan penambahan lebih banyak pusat timbangan serta menyediakan bekalan input pertanian seperti baja dan racun yang berterusan kepada mereka.

Terdahulu, Datuk Seri Fadillah merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Asajaya Berhad dan menyampaikan pelbagai skim bantuan kepada para pekebun kecil sawit serta penerima Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM