fb fb fb fb fb

Isu pemilikan tanah 1,840 peneroka Felda akan diselesaikan segera

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 13 Februari- Isu pemilikan tanah peneroka terhadap 1,840 peneroka Felda di Pahang akan diselesaikan segera bagi memastikan hak mereka terus terjamin dan dipelihara.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini, sebanyak 96 peratus daripada 43,126 peneroka telah menerima suratan hak milik tanah.

"Saya juga dimaklumnkan bahawa pemberian suratan hak milik telah pun ditunaikan kepada peneroka Felda... ada baki kira-kira empat peratus lagi yang akan kita uruskan secepat mungkin. Ia berikutan ada masalah teknikal dalam urusan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Sekretariat Muafakat Felda Pahang Tahun 2025 di Auditorium Jabatan Penyiaran Pahang di sini.

Dalam pada itu kerajaan negeri melalui kerjasama Felda akan melaksanakan Projek Skim Tanah Rakyat Felda Pahang (STRFP) dan hingga 31 Disember 2024, pihak Felda telah selesai menjalankan kerja ukur tanah melibatkan 63 rancangan Felda seluruh negeri itu.
 
Bagi Fasa 1 STRFP, sebanyak 16,035 lot rumah akan ditawarkan kepada generasi baharu Felda yang layak di Pahang.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menggerakkan Sekretariat Muafakat Felda Pahang bermula tahun ini.

Sekretariat Muafakat Felda Pahang ditubuhkan bagi mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dengan warga Felda, serta menjadi platform bagi warga peneroka menyuarakan hasrat mereka kepada kerajaan negeri.

Pada majlis itu, kerajaan negeri juga bersetuju menyediakan dana sejumlah RM500,000 bagi Program Pembangunan Usahawan Generasi FELDA melalui Program Usahawan Makmur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI