fb fb fb fb fb

Isu 'Parallel Pathway', dibentang kepada kabinet 5 Jun ini

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Kertas cadangan penyelesaian isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway dalam bidang pembedahan kardiotorasik akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada kabinet, 5 Jun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi satu kenyataan berkata terdapat dua isu pokok yang perlu diberi penyelesaian.

Ia melibatkan isu pengiktirafan latihan kepakaran Parallel Pathway yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway dalam Daftar Pakar (National Specialist Register) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Menurutnya, isu itu telah dibawa dalam mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lepas bagi mencari penyelesaian.

"Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan melalui kenyataan akhbar bertarikh 2 April 2024, Akta Perubatan 1971 [Akta 50] akan dipinda bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuk mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway," kata kenyataan itu.

Datuk Seri Dr Zambry berkata beliau telah diminta untuk menjelaskan kepada Kabinet sementara ketiadaan Menteri Kesihatan yang kini berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 (WHA77), Geneva.

Tambahnya, isu pengiktirafan pelajar kardiotorasik dan tuduhan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera adalah dua isu yang berbeza.

"Terdapat kumpulan yang cuba mengambil kesempatan hingga menuduh UiTM bersikap 'apartheid' sedangkan isu utama adalah tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kepada kumpulan pelajar ini."

"Selain daripada UiTM yang sedang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan Perakuan Akreditasi untuk kursus ini sebelum ditawarkan dalam masa terdekat," jelas kenyataan itu.

Beliau berkata dengan usaha dan komitmen yang sedang dilakukan oleh Kerajaan MADANI, adalah diharapkan natijah penyelesaian menyeluruh akan terhasil demi kepentingan negara dan rakyat.

Pada 27 Mei lepas, Datuk Seri Dr Zambry dilaporkan berkata isu Parallel Pathway akan diselesaikan dengan kadar segera dan satu rangka cadangan penyelesaian telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Menurutnya, perbincangan dengan KKM telah diadakan baru-baru ini bagi mencari penyelesaian melibatkan aspek perundangan selain isu berkaitan pengiktirafan terhadap program perubatan yang ditawarkan di universiti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM