BANGI, 28 Februari- Kerajaan berusaha mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dalam menangani isu itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata isu padi dan beras ini tidak boleh bersifat berseorangan kerana perlu diteliti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
"Hal beras ini lebih rumit kerana dia bersangkut dengan beras import, beras putih import, beras putih tempatan, beras beriani dan sebagainya perlu kita bincang dengan lebih teliti sebelum pengumuman baru dibuat," katanya ketika ditemui media selepas majlis Simposium Peladang Muda 2024 di sini.
Dalam pada itu, seramai 500 orang peladang dari seluruh negara hadir ke Simposium Peladang Muda 2024 yang dianjurkan Lembaga Pertubuhan Peladang.
Mohamad berkata program itu memberi peluang kepada peladang muda dalam memantapkan pengetahuan dengan bertemu mata bersama pengurusan tertinggi KPKM dan berkolaborasi dalam memantapkan jaringan pertubuhan peladang.
"Kita harap anak muda yang berjaya tadi itu, ada di antaranya tidak melalui pinjaman pun, dia bermula dengan sendiri dan akhirnya berjaya dan kalau ada bantuan kerajaan itu lebih baik untuk merangsangkan mereka membuat perusahaan yang lebih lagi, itu yang kita harapkan," katanya.
Selain daripada pelancaran, turut disampaikan Anugerah Peladang Muda PINTAR 2024 yang menawarkan trofi, sijil dan wang tunai RM10,000 bagi mengiktiraf usahawan muda yang yang mengaplikasikan sistem pengeluaran pertanian secara 'Smart Farming', penggunaan teknologi dan digitalisasi berteraskan Kecerdasan Buatan (Al) dan 'Internet-Of-Thing' (loT) yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.