fb fb fb fb fb

Isu Myanmar: Malaysia ulangi pendirian cadang ASEAN lebih bertegas

KUANTAN, 12 Jun - Malaysia tetap dengan pendirian akan membangkitkan isu di Myanmar pada Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India yang dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 Jun di New Delhi.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata antara perkara yang diketengahkan ketika mesyuarat tidak rasmi bersama Menteri Luar yang lain antaranya melibatkan Konsensus Lima Perkara, termasuk bantuan kemanusiaan di Myanmar.

"Saya akan mencadangkan supaya menteri-menteri luar ASEAN memikirkan secara serius dan mendalam apakah kaedah baharu dan kreatif yang boleh dilakukan bagi selesaikan masalah di Myanmar, antaranya bagaimana nak laksanakan Konsensus Lima Perkara sepenuhnya kerana ia bersifat umum, kita mesti perincikan dan ada pelan hala tuju yang jelas.

"Seterusnya, kita kena nilai sama ada ASEAN mampu laksanakan atau tidak, kalau nak minta tolong dengan siapa (negara-negara lain) kita kena tentukan… ada negara-negara dialog, jadi kita pilih nak minta bantuan negara mana," katanya selepas merasmikan Kursus Asas Bahasa Isyarat Unit Orang Kurang Upaya (OKU) Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota dan Penyerahan Sumbangan kepada Jemaah Haji.

Selain itu, beliau juga akan mengetengahkan isu bantuan kemanusiaan di negara itu agar ia disampaikan secara adil, saksama dan tanpa diskriminasi.

Katanya, isu di Myanmar serius dan perlu segera diselesaikan kerana jumlah pelarian serta kematian makin bertambah.

"Kita telah tegaskan pada Myanmar bahawa isu berlaku di sana bukan lagi isu dalaman kerana rakyat mereka sudah lari dan sudah mula membebankan orang lain, 1.2 juta orang berada di Bangladesh, kira-kira 150,000 di Malaysia dan angka itu bukan angka yang tetap," menurutnya.

Saifuddin turut memaklumkan beberapa negara sudah menyatakan kesediaan untuk menggandakan pengambilan pelarian Myanmar yang berada di negara ini.

(Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) diundang khas sebagai panel pada
Sidang Kemuncak Keselamatan Asia anjuran IIIS di Singapura pada Sabtu/FOTO Wisma Putra)

"Pengambilan mereka sebelum ini terganggu disebabkan COVID-19 dan terdapat satu dua negara besar yang sanggup sekali ganda ambil pelarian berkenaan berbanding tahun sebelum COVID-19," katanya tanpa mendedahkan negara terlibat.

Media Baharu