KUALA LUMPUR, 23 Mac-Polis menahan dan merampas telefon bimbit seorang lelaki yang membuat ugutan bunuh terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong susulan kenyataan berhubung isu pembinaan kuil atas tanah milik pihak lain.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Shahrulnizam Ja’afar, berkata pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa ugutan pada jam 4.18 petang kelmarin.
Menurutnya, pemilik akaun Facebook terbabit menghantar satu pesanan suara dengan kata-kata cacian dan ugutan bunuh kepadanya sehingga menimbulkan ketakutan ke atas keselamatan diri pengadu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melakukan ugutan jenayah dan menakutkan secara jenayah dengan menggunakan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.
Hasil daripada risikan dan siasatan, pada jam 1.30 tengah hari semalam bertempat di pekarangan Balai Polis Damansara, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Damansara menahan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod Firdaus Wong membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh di media sosial Facebook, susulan kenyataannya berhubung isu pembinaan kuil atas tanah milik pihak lain.