fb fb fb fb fb

Isu kontena Israel ‘terlepas’, MOT diarah bantu siasatan- TPM Zahid

Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

JOHOR BAHRU, 4 Mei- Kementerian Pengangkutan (MOT) diarah membantu siasatan terhadap dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan ZIM yang berpangkalan di Israel di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

“Kita tidak ada hubungan diplomatik termasuk hubungan perdagangan secara langsung dengan Israel.

“Saya harap Kementerian Pengangkutan dapat melakukan pemantauan seterusnya terhadap perkara ini supaya tidak berlaku lagi termasuk kapal-kapal Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Halal On Track 2024 @Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru di sini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kewujudan kontena syarikat perkapalan negara Zionis itu.

Beliau dilaporkan berkata, jika ada barangan Israel di mana-mana pelabuhan di Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, maka perkara itu harus dipantau pihak berkuasa.

Sabtu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk prihatin yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.

ZEHRA BINTI ZAMBRI