fb fb fb fb fb

Isu ketidaksepadanan pekerjaan terus diambil perhatian

FOTO HIASAN

SEREMBAN, 24 November - Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa komited menangani isu ketidaksepadanan pekerjaan mengikut keperluan industri, khususnya melibatkan pelajar lepasan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata usaha tersebut membolehkan KSM serta pihak universiti mengenal pasti kaedah yang diperlukan industri bagi mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Yang kita dapat lihat memang banyak kerja yang ditawarkan, cuma isunya sekarang ini graduan yang kita lahirkan tidak padan dengan permintaan industri, jadi itu sebenarnya kita bawah kementerian kita cuba untuk padankan peringkat universiti. Kita sedar apa yang kita buat sekarang dipadu oleh industri, jadi kita tahu apa yang diperlukan industri di luar sana," kata Mustapha Sakmud pada Majlis Perasmian Program Karnival Kerjaya MyFuturejobs X Siswa Madani Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2023, di UiTM Rembau.

Tambahnya, jika langkah berkenaan tidak berpadanan dengan graduan, pihaknya menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan Program Bina Kerjaya bagi melatih individu untuk mendapat sijil sesuai dengan keperluan industri.

Berdasarkan statistik PERKESO, setakat 31 Oktober lalu sebanyak 175 majikan telah diluluskan menerusi program berkenaan dengan pengambilan pekerja seramai 298 orang melibatkan pengesyoran bayaran berjumlah RM340,000, di Negeri Sembilan.

Secara keseluruhan, di Negeri Sembilan Program Karnival Kerjaya MyFuturejobs untuk tahun ini menawarkan sebanyak 8,300 peluang dan seramai 6,100 individu sudah berjaya mengisi pekerjaan tersebut.

TETITIA YUSOFF