fb fb fb fb fb

Isu kekurangan PPS di hospital daerah, KKM komited tangani segera

Foto Fail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Mei- Satu mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diadakan berhubung isu kekurangan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di hospital daerah.

Tegas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, ia perlu ditangani segera bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Saya memandang serius perkara ini. Situasi kekurangan PPS di hospital daerah itu perlu ditangani, kita sudah ada kesediaan ke arah itu. Malam ini, kita akan buat keputusan dalam sehari dua kita akan umumkan bagaimana kita rancang dan laksanakan."

"Kita mahu adakan pelan utama, rancangan jangka tengah dan jangka panjang. Bagaimana keperluan sumber manusia daripada sudut perkhidmatan kesihatan, merangkumi fasiliti KKM yang kita akan bangunkan, ia sangat mustahak," kata Dr. Dzulkefly kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), di sini.

Beliau turut memaklumkan perkhidmatan kesihatan pernah melalui fasa di mana terdapat antara 6,000 sehingga 7,000 graduan perubatan setahun.

Namun, angka tersebut berkurangan sehingga 50 peratus menjadi 3,000 graduan setahun menyebabkan bilangan PPS di hospital berkurangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM