KOTA BAHRU, 10 Mac - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan berjaya memujuk 17 daripada 30 murid Orang Asli yang keciciran di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar dan SK Bihai, Gua Musang untuk kembali ke sekolah.
Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, antara faktor keciciran murid orang asli ke sekolah adalah disebabkan adat, keselamatan iaitu ancaman harimau dan juga faktor cuaca.
Beliau berkata, pelbagai kaedah dibuat JPN Kelantan menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memberi kefahaman akan keperluan murid untuk menghadiri sesi persekolahan termasuk memujuk.
"Kita dapat ambil, jemput para pelajar itu melalui cara pujukan dan sebagainya untuk kita bawa ke sekolah, untuk kali pertama kita buat secara berkala," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan di SK Ismail Petra 1, di sini.
Tambah Mohd Zamri, pihaknya turut mendapat kerjasama dari pemimpin tempatan seperti tok batin selain bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).