KUALA LUMPUR, 28 Mei- Isu kebanjiran warga asing di ibu kota melahirkan kebimbangan masyarakat.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, pihaknya bersama-sama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan berterusan membanteras dan menangani masalah warga asing itu.
"Baru-baru ini kita tengok ada viral dan 'immediately' selepas itu sebenarnya kawasan ini memang berhampiran sangat dengan bandar ibu kota.
"Tempat tempat lain juga kita akan susuli dengan tindakan yang sama dengan kerjasama semua pihak terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Operasi itu juga akan kita buat secara berterusan..mereka rakyat asing yang berada di bandar raya ini adalah mereka yang mempunyai dokumen perjalanan dan pas kerja yang sah sahaja yang boleh berada di ibu kota kita ini," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan yang dilakukan tengah malam tadi, berhampiran Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke) di Sentul, pemeriksaan dibuat terhadap 124 orang warga asing yang terdiri daripada Myanmar, Indonesia dan India.
Kediaman pendatang asing tanpa izin (PATI) itu tidak hanya dijadikan lokasi tempat tinggal, malah serbuan berjaya membongkarkan hampir lima buah kedai runcit yang mana turut menjual minyak masak paket bersubsidi.
Operasi bermula pukul 12.30 tengah malam dan berakhir pada pukul 2.30 pagi.
Operasi tersebut dilakukan secara bersepadu dengan PGA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), DBKL dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).