fb fb fb fb fb

Isu kartel : KPKM akan lakukan siasatan terperinci

FOTO RTM

PEKAN, 22 Januari -Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) masih belum memutuskan sebarang tindakan berhubung dakwaan isu kartel melibatkan industri beras di negara ini.

Ini kerana, sebarang tindakan selanjutnya hanya akan dilakukan apabila siasatan terperinci berhubung isu tersebut selesai dijalankan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) sedang bekerjasama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Jelasnya, siasatan oleh MyCC masih lagi berjalan dan dijangka memerlukan sedikit masa berikutan perlu memperhalusi keseluruhan rantaian industri padi dan beras negara.

"Siasatan dijalankan dari semasa ke semasa.

"Jadi tuduhan satu perkara, siasatan satu perkara yang lain, dan siasatan sudah siap baru kita akan bincang dari segi tindakannya, siasatan sentiasa berjalan", katanya yang ditemui media selepas Majlis Perasmian Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan Pahang di KPS Permatang Durian, Skim Merchong, di sini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

SMART SBB Ala Sekinchan merupakan model baharu menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktikkan Pengetahuan, Sikap dan Amalan yang dilancarkan pada Mei 2023.

Program itu antara lain bermatlamat meningkatkan pendapatan pesawah melalui peningkatan produktiviti dengan mengaplikasikan amalan berdasarkan penanaman padi terbaik di kawasan Sekinchan, Selangor selain mengeluarkan padi lebih bersasar menerusi pembangunan kawasan secara berkelompok. 

Sebelum ini, Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) mendakwa wujud ‘permainan’ tertentu dalam Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) selain mendakwa isu kartel berkemungkinan benar-benar berlaku.

Presidennya, Barim Ismail Awang mendakwa ahli persatuan itu tidak mendapat bekalan beras tempatan daripada BERNAS kerana dikatakan tiada stok, sebaliknya sebahagian besar pasar raya mendapat bekalan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD