KUALA LUMPUR, 2 Mei – Malaysia bakal berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2025 apabila semakin ramai memilih untuk berhijrah ke luar negara demi pendapatan dan faedah yang lebih baik.
Ketua Eksekutif Kolej Institut Jantung Negara, Profesor Emerita Dr. Durrishah Idrus berkata fenomena ini memberi kesan langsung kepada sektor kritikal seperti kejururawatan dan perubatan.
“Di Malaysia sedang berlaku kekurangan jururawat dan jururawat kita sangat dipandang tinggi di luar negara – di Arab Saudi, Singapura, Australia, malah hampir di mana-mana,” katanya.
Namun dalam konteks domestik,kekurangan tenaga di hospital kerajaan dan swasta terus menjadi isu yang membimbangkan dan perlu diselesaikan segera.
“Sebahagian pekerja asing sudah berada dalam sektor perkhidmatan dan menjadi cabaran kepada rakyat tempatan kerana majikan cenderung memilih mereka yang sedia menerima gaji rendah. Tapi rakyat kita inginkan jaminan kehidupan sehingga tua dan bersara. Jadi tidak adil menyalahkan pekerja tempatan semata-mata,” jelasnya.
Beliau menegaskan, penyelesaian jangka panjang perlu berpaksikan data sebenar melibatkan status pekerjaan, kadar gaji dan kebolehpasaran graduan, dan bukan bersandar kepada tanggapan semata-mata.