fb fb fb fb fb

Kes gangguan seksual, Bersatu putuskan tindakan selepas siasatan selesai

JOHOR BAHRU, 16 Februari - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada polis berhubung kes gangguan seksual melibatkan penyandang kerusi Dewan Negeri Sedili, Rasman Ithnain dan bekas ahli Srikandi Kota Tinggi, Johor.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan keputusan untuk mengenakan tindakan akan diputuskan selepas siasatan selesai.

Menurutnya, keputusan samada Rasman kekal mempertahankan kerusi disandangnya juga akan diputuskan semasa pengumuman calon, minggu hadapan.

"Saya rasa elok kita tunggu pengumuman calon nanti, pelbagai faktor diambil kira dalam pertimbangan kita. Saya berani jamin bahawa proses saringan kita amat ketat, di pelbagai sudut termasuk aspek integriti," katanya sebagai mengulas tindakan ke atas penyandang kerusi Dewan Negeri Sedili, yang berdepan isu gangguan seksual yang mendorong kepada peletakan jawatan dan keluar parti Ketua Srikandi Kota Tinggi bersama 30 ahli lain.

Wan Saiful sebelum itu hadir melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) bahagian Iskandar Puteri, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata PN akan mengumumkan senarai calon bertanding pada Pilihanraya Umum Dewan Negeri Johor ke-15, minggu hadapan. Ia dijangka dibuat selepas Pelancaran PN Johor, Sabtu ini di Kota Tinggi.

Senarai calon dan pembahagian kerusi di dalam PN juga telah memasuki peringkat akhir sebelum pengumuman dilakukan nanti.

Media Baharu