fb fb fb fb fb

Isu eksport durian, sifar miskin tegar tumpuan Dewan Rakyat hari ini

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Isu proses pengeksportan durian segar ke China, sasaran sifar miskin tegar dan pembinaan loji sisa kepada tenaga antara perkara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat menerusi portal Parlimen, soalan-soalan berkenaan akan diajukan pada sesi Soal Jawab Lisan.

Chow Yu Hui (PH-Raub) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha kerajaan untuk mempercepat proses pengeksportan durian segar ke China dan memberi satu jangka masa bila pengeksportan itu boleh bermula.

Beliau juga bertanyakan tentang kekangan atau masalah yang dihadapi oleh kementerian dalam proses itu serta cara penyelesaian untuk mengatasinya.

Selain itu, soalan berkaitan negeri seterusnya yang disasarkan kerajaan untuk mencapai sifar miskin tegar serta pelan tindakannya diajukan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) kepada Menteri Ekonomi.

Pada sesi sama, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bertanyakan soalan pada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan senarai 18 lokasi yang akan membina loji 'waste to energy’atau sisa kepada tenaga di seluruh negara, termasuk di Pulau Pinang.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah kemalangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang telah direkodkan dan pendekatan terkini yang diambil dalam meningkatkan kesedaran berkaitan KKP dalam kalangan majikan termasuk Perusahaan kecil Sederhana (PKS).

Selain itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) bertanyakan soalan kepada Menteri Ekonomi sejauh mana kadar inflasi Malaysia Suku Tahun Pertama 2024, dengan 1.8 peratus mencerminkan realiti ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat dan pengguna.

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi Tahun 2021 dan 2022.

Selain itu, turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini adalah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 serta menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024.

Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE