ALOR GAJAH, 7 Mei - Isu cetakan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) tertunggak dijangka selesai pada Julai depan secara berperingkat.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias memberitahu ketika, ini pihaknya masih menunggu pembekalan Mykid berkenaan daripada syarikat pembekal.
Cetakan MyKid ini sekaligus menyelesaikan lebih 136,000 permohonan MyKid yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik COVID-19 lalu, dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan setakat Mac tahun ini.
"Dan kita harapkan kegusaran ibu bapa untuk mendapatkan MyKid dapat diatasi dalam masa sebulan dua lagi dan Insya-Allah apabila sampai masa dan ketikanya kita akan uar-uarkan kepada seluruh negara permohonan-permohonan yang telah dibuat akan dicetak dan semua ibu bapa boleh buat kutipanlah," kata Badrul Hisham kepada media selepas merasmikan penamaan semula pejabat JPN Cawangan Bandar Alor Gajah kepada JPN Daerah Alor Gajah, di sini.
Tambah beliau pihaknya sedang melakukan yang terbaik namun ia masih tertakluk kepada berapa cepat kad tersebut dapat dibekalkan kepada JPN memandangkan tunggakan memproses kad tersebut turut melibatkan permohonan baharu yang diterima setiap hari.
Pada Disember lepas, media melaporkan JPN sedang mencetak 160,000 MyKid yang tertunggak sejak Oktober 2023 dan akan diserahkan secara berperingkat sebaik sahaja proses cetakan selesai dan memberi jaminan isu MyKid tidak akan berulang pada tahun ini memandangkan JPN sedang melaksanakan proses perolehan bekalan sebanyak tiga juta MyKid bagi menampung keperluan.
Dalam pada itu, beliau berkata JPN Melaka akan menggerakkan sebuah van bagi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dengan memberi keutamaan kepada tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang mana lokasinya berada lebih 20 kilometer dari pejabat JPN yang terdekat.
"Van Mekar JPN itu merupakan inisiatif turun padang bagi memberi perkhidmatan menerima dan memproses permohonan kad pengenalan atau MyKad kali pertama usia 12 tahun, gantian kad pengenalan rosak, hilang atau bertukar alamat serta mengeluarkan sijil kelahiran dan kematian dalam memastikan tiada keciciran dokumen pengenalan diri yang sah bagi setiap penduduk Malaysia yang layak," katanya.
Katanya Van Mekar JPN tersebut akan digerakkan ke lokasi tumpuan orang ramai di tujuh DUN tersebut iaitu Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Ayer Limau, Taboh Naning, Asahan, Merlimau dan Sungai Rambai pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat secara berjadual, termasuk memberi perkhidmatan tambahan di dalam program rasmi yang lain.