KANGAR, 27 Februari – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian serius terhadap isu buli siber yang melibatkan guru bagi memastikan golongan pendidik dilindungi dan dapat menjalankan tugas tanpa gangguan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan sebarang tindakan buli siber terhadap guru perlu ditangani segera oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Kita telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada guru, melibatkan pihak sekolah, PPD, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM sendiri. Segala proses siasatan dan tindakan akan diambil mengikut peraturan serta prosedur kerja yang ditetapkan bagi memastikan perlindungan kepada guru," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pelancaran Jamalullail Digital In School Perlis (JLiDS) yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di sini.
Isu buli siber terhadap guru kembali mendapat perhatian selepas tular kejadian seorang guru menjadi sasaran serangan siber berikutan dakwaan kehilangan seorang murid tahun satu di sebuah sekolah rendah.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata guru dinasihatkan agar lebih peka terhadap ancaman buli siber seperti yang digariskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2023: Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM.